Tuesday, November 23, 2010

Lelaki manakah yang setia

Saya terbaca satu ‘statement’ yang mengatakan lelaki yang tidak mempunyai naluri berkahwin lebih daripada satu bukanlah lelaki sejati namanya.. Saya ada pendapat saya sendiri yang mengatakan bahawa ‘statement’ itu tidak tepat. Bagi saya tidak semua lelaki mempunyai naluri untuk berkahwin lebih daripada satu.

Namun ada satu ketika, kebanyakan lelaki ingin merasa kembali bercinta seperti mahu mengimbau zaman bercinta. Apa yang nyata, lelaki adalah lelaki, setua mana pun mereka, apabila di jamu di depan mata perempuan yang mempunyai raut tubuh yang segar dan mengiurkan pasti nafsu mereka terangsang dan iman mereka boleh cair.

Dengan erti kata sebenar, itulah pandangan saya, hampir setiap lelaki pasti ada keinginan untuk merasa muda kembali, merasa bercinta kembali, merasa mempunyai teman wanita yang muda kembali dan ingin merasa membuat hubungan dengan perempuan lain selain daripada yang ada.

Walaupun hampir semua lelaki menyimpan keinginan begitu, tetapi apa yang pasti keinginan-keinginan begitu tidak selalunya diiringi dengan keinginan untuk berkahwin lebih daripada satu.

Sebenarnya banyak juga lelaki yang tidak suka berkahwin lebih daripada satu tetapi mereka lebih suka mempunyai hubungan bebas tanpa perkahwinan. Banyak lelaki yang tidak mahu terikat dengan perkahwinan lain dan juga tidak mahu memenuhi satu lagi tanggungjawab menambah keluarga lebih daripada satu.

Pun begitu masih banyak lelaki di atas mukabumi ini yang dapat mengawal nafsu mereka, kerana mungkin mereka tidak mampu dari segi kewangan, tidak mampu untuk membahagi kasih sayang, tidak mampu untuk melukai hati teman yang sedia ada, tidak mampu untuk memporak perandakan kedamaian rumahtangga yang sedia ada dan juga tidak mampu untuk memeningkan kepala yang selama ini tenang.

Malah masih banyak juga lelaki yang begitu setia dan amat menghargai kebahagiaan hidup sebuah keluarga mereka selama ini. Menghargai cinta wanita yang dijambang untuk sekian waktu.

Sebenarnya lelaki sebeginilah lelaki yang matang, sentiasa berfikir panjang, bimbang tidak dapat berlaku adil, risau melukai hati isteri, takut tidak terdidik anak-anak. Bahkan mereka dapat mengawal nafsu dengan baik atau tidak ingin melayan perasaan untuk bercinta atau keinginan untuk berkahwin setelah melihat sendiri pengalaman teman-teman atau orang di sekeliling yang berkahwin atau bercinta lebih daripada satu dan kemudian bercerai berai. Isteri entah kemana, anak pergi merata.

Lelaki yang mempunyai kekuatan mental begini adalah lelaki yang lebih peka apabila melihat teman-teman sekeliling yang tidak pernah bahagia akibat berkahwin lebih daripada satu kerana tidak semua lelaki bertuah dapat memiliki kebahagiaan sebenar hidup berumahtangga apabila berkahwin lebih daripada satu. Malahan banyak yang lebih malang dari tuah.

Daripada pengamatan saya dan pemahaman saya tidak semua lelaki sejati mahu berkahwin lebih daripada satu dan tidak semua lelaki yang berkahwin lebih daripada satu itu adalah lelaki sejati. Itu hanya pendapat saya, apa pula pendapat sebenar daripada laki-laki di luar sana.

1 comment:

  1. lelaki seperti wanita..mahu hatinya dbelai dengan kesetiaan,kejujuran bukanya hanya pandai bermadah atau berhujah tentang estetika cinta.

    ReplyDelete